"Aku cakap betul apa...ni bukan mengumpat..memang dah betul nak buat macamana".... Ayat yang sering keluar dari lidah seorang wanita.
Tetapi...
Di dalam Kitab Riyadus Shalihin karangan Imam An-Nawawi, Bab berkaitan Ghibah, ada 6 keadaan yang diharuskan ulama’ untuk mengumpat. Saat itu, ghibah diharuskan untuk tujuan yang shahih lagi syar’ie di mana tidak mungkin tujuan atau matlamat tersebut boleh sampai melainkan terpaksa melakukan ghibah, maka dibenarkan!
Terdapat 6 perkara yang dibolehkan mengumpat dalam kitab tersebut. Kandungan asal bab ini dipetik dari Kitab Riyadus Shalihin versi Bahasa Arab... Begitu juga dalam kitab-kitab seperti Imam Ghazali Ihya Ulumuddin dan lain-lain.
6 Perkara tersebut ialah:
Pertama: Orang yang dizalimi. Maka harus bagi orang yang dizalimi mengadu kezaliman yang dilakukan ke atasnya kepada pemerintah, qadhi dan sebagainya yang menjadi penguasa atau mempunyai kekuatan untuk menghentikan kezaliman orang itu. Contohnya, dengan menyebut : “aku dizalimi oleh fulan seperti ini... “.
Kedua: Minta tolong untuk mengubah kemungkaran atau menunjukkan ahli maksiat kepada kebenaran. Caranya dengan menyampaikan kepada sesiapa yang mempunyai kekuatan atau kemampuan untuk membetulkan kemungkaran tersebut. Contohnya, dengan menyebut : “ fulan itu melakukan begini.. “. Maka boleh disampaikan dengan tujuan untuk mengubah mungkar. Jika bukan dengan tujuan itu adalah haram.
Ketiga: Meminta fatwa. Contohnya, kita bertemu mufti dan berkata : “ aku dizalimi ayahku atau saudaraku atau suamiku atau fulan dengan begini. Maka apa pandangan mu (mufti )?”. Pertanyaan itu bertujuan untuk meminta pandangan untuk selesaikan masalah tersebut. Tetapi, baik juga jika nama identiti individu tersebut tidak disebut secara terperinci kecuali dengan menyebut kesalahannya sahaja.
Keempat: Memberi peringatan kepada kaum Muslimin daripada kejahatan dan menasihati mereka. Contohnya apabila kita mengetahui adanya orang yang diambil menjadi saksi dalam sesuatu kes, tetapi kita tahu kefasiqannya, maka wajib mendedahkannya demi kemaslahatan umat Islam. Ataupun seorang perawi hadith yang diketahui mempunyai masalah di sudut thiqah atau adilnya, maka boleh didedahkan kerana untuk menjaga kepentingan ramai daripada menerima hadith yang diriwayatkannya.
Ataupun dalam bab perkahwinan, dibenarkan kita menyebut keburukan seseorang jika ada orang yang ingin mengahwininya datang bertanya tentang diri individu itu pada kita, atau dalam urusan untuk berpakat berniaga, maka dibenarkan kita menyampaikan keburukan seseorang yang ingin melakukan kerjasama dalam perniagaan agar terselamat dari amalan buruknya, atau dalam urusan menyimpan barang, maka boleh kita maklumkan keburukan seseorang yang kita tahu dia tidak amanah dan sebagainya dan lain-lain.
Atau kita memaklumkan kepada orang ramai agar tidak berguru dan berhati-hati dengan seseorang yang kita tahu dia sering berulang-alik belajar dari guru yang bid’ah. Atau ilmunya diambil dari orang yang fasiq kerana kita bimbang akan timbul mudarat darinya nanti. Ataupun kita memaklumkan pada orang ramai tentang keburukan seseorang yang ingin diangkat menjadi pemimpin kepada satu kaum, tetapi dia fasiq, lagha (lalai) dan sebagainya. Maka wajib memaklumkan pada orang ramai.
Kelima: Orang yang melakukan maksiat atau bid’ah secara terang-terangan seperti minum arak, mengambil cukai (peras ugut dan sebagainya), ambil harta orang secara zalim, menjadi kepala utama dalam melakukan kejahatan, maka harus didedahkan kejahatan mereka ini. Namun, perbuatannya jahat yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja perlu disebut, bukan selainnya.
Keenam: Pengenalan diri . Apabila ada manusia yang dikenal dengan gelaran seperti mata berair, tempang, pekak, buta, juling dan sebagainya, maka harus memanggil mereka dengan gelaran itu dengan tujuan untuk mudah dikenali. Jika bukan dengan tujuan untuk mudah mengenali, sekadar untuk menghinanya, maka hukumnya haram. Adapun, jika gelaran-gelaran itu tidak diredhoi oleh mereka, maka tidak dibenarkan memanggil gelaran itu dan usahakan dengan panggilan lain jika ingin mudah kenal sekalipun.
Inilah 6 keadaan diharuskan ghibah (mengumpat) oleh ulama'-ulama’ dengan pelbagai dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadith masyhur yang telah mereka sepakati. Maka pandai-pandailah kita menilai dan meletakkan mengumpat kita dan anda, sehingga tidak terjerumus jadi 'pengumpat' yang dilarang pula!
Renung-renungkanlah..untuk memperbaiki diri sesama kita...terutama pemilik jemari ini.
Tanamkanlah azam untuk membaikpulih aqidah dan sahsiah...semoga Allah mempermudahkan usahaku yang tak seberapa ini. Semoga Allah buka lagi dan lagi jalan2 kebaikan untuk insan yang lemah ini. Amin...
No comments:
Post a Comment